The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

FAS Mohon Penangguhan Piala Malaysia Dikaji Semula

Nov 10, 2020 - FAS

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam menerima perkhabaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengumumkan pertandingan TM Piala Malaysia 2020 yang sedang berlangsung kini ditangguhkan.

Pengumuman ini mendapat reaksi yang bercampur-baur di kalangan pemegang taruh bola sepak Malaysia yang merangkumi penganjur, pasukan, penaja, penyokong, pemain, jurulatih, pegawai, staf dan kakitangan media yang terlibat secara langsung dalam sukan ini.

Hal ini kerana terlalu banyak rintangan yang dihadapi oleh sektor sukan bola sepak sejak Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada awal tahun ini. Antara yang paling memberi kesan kepada industri bola sepak adalah larangan masuk penyokong ke stadium dan penganjuran kejohanan liga yang telah disingkatkan kepada satu pusingan. 

Kehilangan kehadiran penyokong dan kekurangan perlawanan ini secara langsung memberi kesan terhadap penjanaan pendapatan kelab dan perjanjian yang termaktub antara kelab dan pihak penaja. Perkara ini amat penting dalam menjaga kelangsungan kewangan kelab, terutamanya selepas semua pasukan Liga M telah diswastakan untuk musim baharu kelak. 

Setelah Liga Malaysia dibenarkan bersambung semula pada Ogos yang lalu, sebanyak 42 perlawanan Liga Super dan 7 perlawanan Piala Malaysia telah berlangsung sehingga ke hari Ahad baru-baru ini. Sepanjang 49 perlawanan ini berlangsung, kesemua staf, pegawai dan pemain bola sepak telah menjalani ujian calitan (swab test) dan mengikuti prosedur ketat untuk mengelakkan sebarang jangkitan dan penularan wabak COVID-19. 

Hasilnya, tiada sebarang kes yang direkodkan atau kluster baru yang dilaporkan wujud dari sektor bola sepak profesional. Kelab-kelab bola sepak di Malaysia juga baru sahaja dapat mula menarik nafas lega kerana segala pelaburan yang telah dibuat pada awal musim kini sekurang-kurangnya boleh dilangsungkan dan mula meringankan beban pelbagai pihak yang terkesan ekoran pengantungan liga.

Justeru, pihak FAS ingin memohon jasa baik dan kebijaksanaan MKN untuk mengkaji semula keputusan penangguhan kejohanan Piala Malaysia yang telah diumumkan.

Setiap pemain dan kelab bola sepak adalah aset ekonomi negara dan ianya amat sukar bagi industri bolasepak untuk bangkit semula sekiranya kejohanan Piala Malaysia ditangguhkan sehingga tempoh yang sehingga kini masih belum dapat dipastikan.

Antara sebab utama yang perlu dipertimbangkan adalah kontrak yang dimeterai di antara pemain dan kelab bola sepak di Malaysia yang rata-ratanya diikat sehingga akhir November tahun ini. Jika perlawanan Piala Malaysia dilangsungkan selepas tarikh ini, ramai pemain akan tamat kontrak dan ini akan menyukarkan persediaan kelab untuk baki perlawanan, serta persediaan musim seterusnya.

Walaupun keselamatan rakyat jelata adalah agenda terpenting ketika ini, pihak FAS percaya pematuhan ketat SOP yang telah ditetapkan sepanjang penganjuran Piala Malaysia akan dapat mengawal penularan pandemik ini di dalam sukan bola sepak profesional.

Melalui perancangan rapi dan solusi baharu yang telah disediakan oleh Malaysian Football League (MFL), pihak FAS ingin turut menyuarakan sokongan dan kepercayaan terhadap permohonan rayuan yang dikemukakan MFL hari ini.

Cadangan yang telah disyorkan oleh MFL iaitu ‘quarantine-based’ atau perlawanan berpusat di negeri-negeri berkecuali PKPB merupakan langkah yang terbaik bagi memastikan situasi dan keadaan selamat dan terkawal. Selain itu, kejohanan Piala Malaysia hanya berbaki 7 perlawanan sahaja lagi dan setiap pusingan akan menyaksikan jumlah pasukan bertanding berkurangan di mana hanya 8 pasukan terlibat di dalam suku akhir, 4 pasukan di separuh akhir dan 2 pasukan di perlawanan akhir. 

Oleh itu, FAS berharap pihak MKN dapat mempertimbangkan rayuan dan cadangan pihak MFL untuk meneruskan baki perlawanan Piala Malaysia 2020. 

Jika diberi peluang, pihak FAS akan memastikan setiap pemain, pegawai dan staf yang terlibat akan terus mematuhi dan mengamalkan SOP yang disediakan dalam mencegah penularan COVID-19 seperti yang telah terbukti sehingga kini.

Unit Media
FA Selangor